
Saidina Ali ra, Mus’ab Bin Umair, Imam As-Syafie, Umar Abdul Aziz, Sultan Muhammad Al-Fateh, Salahuddin Al-Ayubi, Imam Hasan Al-Banna.
Ya Allah,hebat nama-nama yang disebut ini. Siapa mereka? Merekalah pemuda Islam yang telah mengubah dan mencorakkan dunia mengikut perspektif Islam yang tersendiri. Sungguh gilang gemilang catatan sejarah yang telah mereka ukirkan buat tatapan kita umat Islam khususnya pemuda Islam. Kehebatan mereka ini bukan terletak pada nama,pangkat, keturunan ataupun darjat tapi pada ke’intim’an mereka terhadap Allah swt dan RasulNya sehingga mereka bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan Islam hingga ke puncak kemuliaannya. Untuk apa? Tidak lain dan tidak bukan untuk memakmurkan bumi Allah ini dengan syariat dan kewajipan yang diturunkan Allah. Sungguh inilah jalan kejayaan sebenar buat mereka yang mahu menjejak kaki ke syurga bersama mereka.
Mereka bukan sekadar dikagumi oleh penduduk bumi, malah dipuji dan disanjung tinggi oleh penduduk langit. Mereka ini bukan pemuda yang dilahirkan dengan ciri anggota yang luarbiasa. Tapi segalanya sama dengan manusia lain.Mereka lahir dari salur rahim manusia juga. Mereka makan seperti manusia .Tiada yang berbeza dari manusia lain dari sudut kehidupan biasa.
Tapi ada beberapa perkara berbeza yang ada pada mereka tapi tidak ada pada kita kebanyakan pemuda Islam dizaman mutakhir ini. Apa yang saya senaraikan dibawah ini merupakan sifat dominan mereka yang saya dapati dari pembacaan yang ringkas tentang perjalanan hidup mereka :
1) Hidup bukan bermatlamat untuk mengejar pangkat,nama dan kedudukan tapi mengejar keredhaan Allah dalam setiap bidang yang mereka ceburi.
2) Mereka sangat takut dan berharap pada Allah dalam setiap pekerjaan yang mereka lakukan.
3) Mereka sentiasa mewujudkan atau mencipta suasana kehidupan mereka yang seringkali berbeza dengan orang lain.(penuh berdisiplin)
4) Mereka menggunakan setiap peluang dan bidang mereka untuk kuatkan Islam lebih dari mengutamakan kesenangan diri mereka sendiri.
5) Berhibur yang bukan cara Islam sangat mereka jauhi terutama hiburan yang melibatkan adanya kehadiran wanita samaada dalam bentuk muzik ataupun tarian. Malah jarang sekali kita dapat dengar mereka bercampur atau berinteraksi dengan wanita yang bukan isteri dengan kadar kekerapan yang tinggi.
6) Mereka sangat merendah diri dan hampir dengan orang yang lebih alim walaupun keilmuan mereka diakui melangkaui zaman.
Itulah antara sifat dominan mereka yang mengundang kejayaan bagi pemuda Islam. Maka mari teman-teman yang saya kasihi sekalian khususnya pemuda Islam sekalian kita sama-sama ikut jejak langkah mereka. Begitu juga para ibu bapa, guru-guru, abang-abang dan akak-akak sekalian, asuh dan didiklah anak-anak lelaki,adik-adik lelaki kalian dengan mencontohi ikon-ikon yang saya sebut di atas. Asuhlah diri pemuda cinta akhirat dan ceritakanlah padanya tentang tipuan dunia. Pasti dia akan gemilang!Wallahualam.




